Sebuah kisah benar yang mesti dibaca oleh semua insan terutamanya yang
bergelar seorang anak. Ini kisah petua seorang ayah untuk kebaikan
anaknya. Kisah ini sangat dekat dengan diriku. Begini kisahnya:
Entahlah apa yang selalu bermain di fikiran ayah. Apabila saya ingin
pulang kembali ke kota, dia kerap minta duit. Seakan-akan mendesak.
”Ada duit? Minta ayah sedikit…”
Saya masih ingat waktu itu kehidupan saya terlalu sukar. Untuk mendapat
seratus ringgit di dalam poket satu-satu masa pun payah. Kalau balik
kampung selalunya duit yang ada hanya cukup-cukup tambang. Mujur, isteri
dan anak-anak saya sudah pun faham. Alhamdulillah mereka ’sporting’ dan
tidak banyak meragam.
”Emak, ayah asyik minta duit… Bukan tak mahu bagi, tapi memang tak ada duit,” bisik saya kepada emak.
Emak seperti biasa, berwajah selamba. Sukar di tebak reaksinya.
”Bagilah beberapa yang ada,” cadang emak pendek.
”5 ringgit?”
Emak mengangguk.
Saya rasa bersalah untuk memberi ayah wang sebanyak itu. Apalah yang
boleh dibeli dengan wang 5 RM…. Tapi kerana tidak mahu hampakan harapan
ayah dan ikutkan cadangan emak, saya gagahi juga memberinya.
Ayah selalunya tersenyum menerima pemberian saya. Tetapi yang
mengejutkan ialah apabila kami sekeluarga berada di perut bas dalam
perjalanan pulang ke kota. Di kocek anak saya sudah terselit wang
sepuluh ringgit. Siapa lagi yang memberi kalau bukan ayah? 10 tolak 5,
saya masih ’untung’ 5 ringgit. Geli hati mengenangkannya.
Begitulah selalunya tahun demi tahun. Bila kami pulang ziarah ke
kampung, saya akan memberi wang ’permintaan’ ayah. Kekadang terlupa,
tetapi ayah selalu mengingatkan. Akhirnya, saya memang sediakan
’peruntukan’ khas untuk diberi kepada ayah setiap kali pulang kampung.
Kedudukan ’ekonomi’ saya yang masih goyah kekadang hanya mengizinkan
wang dua ringgit untuk diberikan kepada ayah. Ironinya, ayah tetap
permintaannya dan tetap senyum bila menerima. Tidak kira berapa
jumlahnya. Emak terus-terusan selamba. Saya masih sukar menandingi
’ketajaman’ rasa seorang isteri (emak) dalam memahami hati suaminya
(ayah).
Begitu pun, setiap kali dalam perjalanan pulang, kocek anak saya akan
jadi sasaran. Kekadang itulah duit pelengkap membeli tiket pulang. Ayah
akan setia memasukkan duit yang melebihi jumlah yang saya berikan
kepadanya. Saya tidak mengambil masa lama untuk memahami apa maksud
tersirat di sebalik perlakuan ayah itu. Dia meminta wang pada saya bukan
kerana ’tidak ada’, tetapi ada sesuatu yang lebih besar ingin
dicapainya atau disampaikannya.
Namun, secara bertahap-tahap, buku tulisan saya semakin mendapat
sambutan. Bukan itu sahaja, perniagaan yang saya mulakan secara
kecil-kecilan semakin membesar. Kalau dulu kami pulang ke kampung dengan
bas, tetapi selepas beberapa tahun saya pulang dengan kereta milik
sendiri. Saya masih ingat komen ayah ketika saya sekeluarga mula pulang
dengan kereta kecil Kancil milik kami sendiri.
”Nanti, besarlah kereta kamu ni…” ujar ayah senyum.
Apapun, saya tetap memenuhi permintaan ayah setiap kali hendak pulang.
Wang saya hulurkan kepadanya. Dan ayah juga konsisten dengan sikapnya,
ada sahaja wang yang diselitkan dalam kocek anak saya.
”Eh, tak payahlah ayah…” Sekarang saya mula berani bersuara. Ekonomi
keluarga dah agak stabil. Malu rasanya mengambil duit ayah walaupun
dengan perantaraan pemberian datuk kepada cucunya. Saya tahu dan sedar,
hakikatnya ayah hendak memberi kepada saya sejak dulu. Tetapi sengaja
dia tidak ingin saya merasa segan, duit diberi melalui anak.
”Kenapa, dah kaya?” usik ayah. Hendak tak hendak, duit di kocek anak
tetap diselitkannya. Cuma sekarang bezanya, duit itu tidak lagi
’dikebas’ oleh saya. Dan dalam hati, saya mula merasa senang kerana
jumlah yang saya berikan kepada ayah, kini sudah melebihi apa yang mampu
diselitkannya ke kocek anak saya. Tidak semacam dulu lagi, duit
pemberian ayah kepada anak saya sentiasa melebihi duit pemberian saya
kepadanya.
Masin sungguh mulut ayah. Tidak sampai tiga tahun, kami bertukar kereta.
Di samping penulis, saya menjadi penerbit. Perniagaan semakin rancak.
Oleh kerana bilangan anak bertambah dan keperluan kerja yang meningkat
saya sudah membeli sebuah MPV untuk kegunaan jarak jauh dan sebuah lagi
kereta untuk kegunaan harian. Anak-anak mula menjejak menara gading.
Kehidupan semakin laju dan aktiviti semakin rancak. Namun bagaimana
sibuk sekalipun saya tetap pulang menziarahi ayah dan ibu. Anehnya, ayah
tetap memberi kepada anak saya walaupun kini saya telah dikenali
sebagai korporat yang berjaya… Rupa-rupanya, ayah memberi bukan kerana
’kekurangan’ atau ’kelebihan’ kami. Tetapi dia memberi kerana Allah…
Mencontohi Allah Al Wahhab itu!
Anda ingin tahu apa pesan penulis itu kepada saya? Ya, mari kita kongsi bersama:
”Kini aku benar-benar faham bahawa ibu-ayah yang tua bukan beban dalam
kehidupan di dunia, lebih-lebih lagi untuk kehidupan di akhirat. Mereka
bukan ’liabiliti’ tetapi sebenar mereka adalah aset untuk kita (walaupun
istilah itu sebenarnya kurang ataupun tidak tepat, kerana ibu bapa
bukan benda). Rugi betul siapa yang mempunyai ibu bapa yang telah tua
tetapi mengabaikannya…”
”Memberi kepada ibu bapa hakikatnya memberi kepada diri sendiri,
walaupun itu bukan niat kita ketika memberi, tetapi percayalah rezeki
berganda akan pulang kepada kita semula. Doa mereka mustajab. Harapan
mereka kenyataan. Kasih mereka bekalan. Benarlah sepertimana sabda
Rasulullah s.a.w. Keredaan Allah itu terletak kepada keredaan ibu bapa.”
Baiklah, anda pembaca bagaimana? Inilah cerita benar yang jarang
didengar. Inilah rahsia ’perniagaan’ yang jarang diperkatakan oleh para
korporat. Juga tidak ditulis dalam mana-mana buku perniagaan… Masih
mempunyai ibu bapa? Memberilah kepada mereka. Tidak ada? Tidak mengapa,
memberilah kepada anak-anak anda. Tidak ada juga? Memberilah kepada
sesiapa sahaja… Kita mesti sentiasa berfikir untuk memberi. Memberi
kepada orang lain bererti memberi kepada diri sendiri walaupun itu bukan
maksud kita ketika mula memberi Beruntung lah sesiapa yg masih punyai
ibu n bapa.
kredit to mediasensasi. :')